UMNO Sabah bertanding di 31 kawasan, Musa Aman tiada dalam senarai

0
248
Bung Moktar

KOTA KINABALU – Bekas Ketua  Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman sah tidak akan mewakili Barisan Nasional (BN) untuk bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) yang akan berlangsung pada 26 September ini.

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, ini kerana tiada permohonan dibuat oleh beliau.

“Kita sentiasa menghormati dia, namun dia tak pernah mohon untuk menjadi calon BN,” katanya dalam sidang akhbar pengumuman calon BN daripada UMNO hari ini.

Dalam pada itu, turut tidak disenaraikan ialah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Tan Sri Musa Aman

Bagaimanapun, seorang lagi bekas pemimpin UMNO yang juga bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak dipilih untuk bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Usukan.

Mengulas lanjut, katanya, BN akan bertanding di 31 daripada 73 kerusi DUN Sabah pada pilihan raya negeri tersebut.

Katanya, UMNO meletakkan 95 peratus muka baharu serta menampilkan dua calon wanita pada pilihan raya negeri kali ini.

Bung Moktar berkata, pemilihan calon adalah berdasarkan mereka yang berada dalam kalangan yang terbaik dan diyakini mampu memenangi kerusi di kawasan masing-masing.

“Calon yang dipilih dilihat dari segi latar belakang, mesra rakyat dan yang paling penting calon itu diterima oleh rakyat dan mampu menang,” katanya.

Sementara itu, Bung Moktar berkata, beliau hanya mengumumkan calon daripada UMNO manakal calon daripada MCA dan PBRS akan diumumkan oleh presiden masing-masing.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here