Vaksin : Keputusan dimuktamad awal tahun depan

0
83
Khairy Jamaluddin Abu Bakar

KUALA LUMPUR – Pemilihan vaksin Covid-19 dijangka dimuktamadkan menjelang awal tahun depan berikutan beberapa ujian klinikal vaksin berkenaan kini berada pada fasa ketiga dan dijangka dianalisa pada hujung tahun ini. 

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, MOSTI kini masih di peringkat perbincangan dengan Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Kewangan dan Jabatan Peguam Negara mengenai implikasi undang-undang dan model perolehan vaksin tersebut.

“Kita sedang berbincang dengan syarikat-syarikat farmaseutikal antarabangsa bagi pembekalan terus tanpa melalui pelan peruntukan vaksin Covid-19 Vaccine Global Access (Covax).

“Saya juga telah meminta supaya satu perjanjian dengan negara China dimuktamadkan secepat mungkin berikutan draf penjanjian hampir siap,” katanya memetik laporan Bernama hari ini.

Tambahnya, rundingan dengan pihak (Covax) bagi penyertaan Malaysia di dalam kemudahan tersebut bagi mendapatkan vaksin Covid-19 yang diperlukan masih berlangsung.

“Ada beberapa perkara yang masih dalam perbincangan dengan Covax. Kemudahan ini adalah kemudahan pembelian awal, jadi model perolehan ini agak luar biasa. Kita bayar untuk benda yang masih belum wujud,” jelasnya.

Antara syarikat yang telah memulakan ujian klinikal terakhir vaksin itu adalah Moderna, Pfizer and BioNTech, AstraZeneca, University of Oxford dan Johnson & Johnson.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here