WHO puji sistem kesihatan Malaysia

0
158
Tan Sri Dr. Noor Hisham

CYBERJAYA – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengiktiraf sistem kesihatan di Malaysia sebagai sangat kuat dan mempunyai liputan yang sejagat (UHC).

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, sistem kesihatan di negara Malaysia juga diiktiraf mempunyai asas-asas yang kukuh dalam menangani wabak Covid-19 melalui pengalamannya yang lepas.

“Kementerian Kesihatan (KKM) menghargai pengiktirafan WHO ini dan terus komited dalam memperkukuhkan sistem kesihatan negara bagi menjamin kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara.

“Kesepaduan membawa kejayaan. Insya-Allah,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman Facebook miliknya hari ini.

Dr. Noor Hisham berkata, perkara itu disampaikan dalam satu sidang akhbar yang dibuat oleh WHO, semalam.

Mengulas lanjut, Dr. Noor Hisham berkata, pihak WHO turut menjelaskan beberapa langkah pencegahan Covid-19 yang boleh diamalkan oleh setiap individu dalam menghalang jangkitan Covid-19.

Dr. Noor Hisham berkata, setiap langkah pencegahan yang disebutkan itu adalah selari dengan nasihat-nasihat yang sering ditekankan oleh pihak KKM.

Sementara itu, Dr. Noor Hisham berkata, WHO turut memaklumkan bahawa sehingga kini masih belum ada vaksin Covid-19 yang disahkan berkesan dan selamat oleh pihak WHO.

“Pihak WHO menegaskan bahawa vaksin adalah berkesan dalam membendung penularan penyakit seperti cacar air, polio dan sebagainya.

“Namun begitu, keberkesanan dan keselamatan vaksin adalah faktor penting dalam penggunaan vaksin.

“Perkara ini tidak boleh diambil ringan dan justeru itu, bagi menjamin faktor-faktor tersebut, vaksin perlu melalui beberapa ujian dan fasa,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here