8 polis ditahan SPRM, RM100,000 ditemui di rumah pegawai polis

0
2677
Antara kereta mewah yang disita susulan penahanan beberapa individu yang terlibat dalam Macau Scam

CYBERJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan empat pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan merampas wang tunai berjumlah RM100,000 berhubung siasatan kes kegiatan pengubahan wang haram hasil aktiviti judi dalam talian dan Macau Scam.

Memetik laporan Berita Harian yang memetik satu sumber, turut ditahan ialah empat anggota lain-lain pangkat.

Katanya, empat pegawai kanan yang yang ditahan itu masing-masing seorang berpangkat Asisten Komisioner (ACP), Superintendan, Deputi Superintendan dan Asisten Superintendan serta dua anggota berpangkat Lans Koperal.

Kesemua suspek itu difahamkan bertugas di Bukit Aman dan Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Selangor.

“Ketika proses tangkapan dilakukan, pihak SPRM turut merampas wang tunai RM100,000 dari kediaman seorang daripada pegawai yang ditahan.

“Setakat ini, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti sama ada mereka menerima ‘habuan’ lumayan daripada seorang lelaki berpangkat Datuk yang ditahan dan direman Sabtu lalu, bagi melindungi aktiviti judi dalam talian tempatan dan Macau Scam yang mensasarkan mangsa di China,” katanya.

Antara kereta mewah yang disita oleh SPRM

Minggu lalu,, SPRM menahan seorang selebriti bersama isterinya yang juga seorang artis bagi membantu siasatan berhubung pengubahan wang haram.

Susulan itu, SPRM berjaya menahan sepasang suami isteri yang menjadi dalang utama kepada sindiket berkenaan.

Sementara itu, menurut sumber itu,, pihak SPRM masih mengesan baki sebahagian lagi pegawai dan anggota polis yang bertugas di peringkat Bukit Aman, Kontinjen Selangor dan Kuala Lumpur serta beberapa Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) untuk membantu siasatan.

“Tindakan tangkapan dilakukan ini berdasarkan maklumat dan keterangan diperoleh daripada lapan suspek awal yang ditahan termasuk seorang lelaki bergelar Datuk yang menguruskan dan mengendalikan pembayaran bagi melindungi kegiatan judi dalam talian dan Macau Scam yang kemudian ‘mencuci wang’ berkenaan dengan melaburkannya dalam perniagaan membabitkan selebriti serta usahawan kosmetik,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here