
CYBERJAYA – Sebanyak sembilan penjara yang terletak di zon utara dan zon Selangor dikesan menjadi lokasi penularan wabak Covid-19.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia melibatkan lima penjara di zon utara dan empat penjara di zon Selangor
Berikutan itu, katanya, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di kedua-dua zon itu serta kuarters perumahan penjara tersebut berkuatkuasa hari ini sehingga 4 November ini.
“Penjara yang terlibat di zon utara adalah Pusat Koreksional Perlis, Penjara Sungai Petani, Penjara Taiping, Pusat Koreksional Kamunting dan Penjara Tapah.
“Di zon Selangor pula ialah Penjara Reman Sungai Buloh, Penjara Kajang, Penjara Wanita Kajang dan Pusat Koreksional Puncak Alam,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, prosedur operasi standard (SOP) bagi PKPD di kesemua penjara dan kuarters penjara itu adalah sama seperti SOP PKPD penjara yang telah dilaksanakan sebelum ini.
Katanya, antara SOP yang telah ditetapkan adalah pergerakan keluar masuk tidak dibenarkan melibatkan kawasan itu termasuk lawatan oleh ahli keluarga tahanan adalah tidak dibenarkan.
Pada masa sama, katanya, pergerakan staf penjara ditentukan berdasarkan SOP yang
dikeluarkan oleh Jabatan Penjara manakala tahanan yang akan dibebaskan semasa tempoh PKPD akan diasingkan daripada tahanan yang lain.
Sebelum ini, kerajaan melaksanakan PKPD di beberapa penjara dan pusat tahanan
melibatkan Penjara Alor Setar, Penjara Pokok Sena, Penjara Reman Pulau Pinang dan Penjara Seberang Perai selepas berlakunya penularan kes Covid-19 di lokasi berkenaan.-MT