
CYBERJAYA – Tan Sri Muhyiddin Yassin memohon maaf jika kerajaan terpaksa mengambil tindakan tegas bagi membendung wabak Covid-19 daripada terus tersebar.
Perdana Menteri berkata, ini termasuk mengenakan tindakan tegas terhadap mereka yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.
“Yang amat dikehendaki pada masa ini ialah kita semua mesti patuh kepada SOP dan arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan. Petugas barisan hadapan dari agensi-agensi penguatkuasaan akan dikerah semula ke tempat-tempat awam untuk memastikan pematuhan.
“Jika ada yang melanggar undang-undang, hukuman kompaun dan lain-lain akan dikenakan tanpa mengira pangkat dan darjat.
“Maaflah jika Abah ini mula menggunakan rotan,” katanya ketika menyampaikan Perutusan Khas hari ini
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengingatkan bahawa rakyat Malaysia mampu melawan virus tersebut dan pernah berjaya melandaikan lengkung jangkitan Covid-19 sebelum ini.
“Saya yakin dan percaya kita akan dapat bersama-sama melandaikannya sekali lagi. Insya-Allah, kita doakan mudah-mudahan kita semua akan menang akhirnya,” katanya.-MT