
CYBERJAYA – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya mempersembahkan jumlah sokongan yang diterimanya kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam pertemuan di Istana Negara hari ini.
Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, dalam pertemuan selama 25 minit itu beliau
tidak mengemukakan senarai nama ahli-ahli Dewan Rakyat untuk mengukuhkan dakwaan tersebut.
“Sehubungan dengan itu, Al-Sultan Abdullah telah menasihati Anwar untuk akur dan menghormati proses-proses perundangan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Agong menerima mengadap Anwar selepas beliau mendakwa memperoleh jumlah sokongan mencukupi untuk menubuhkan kerajaan baharu.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Fadil berkata, baginda turut menzahirkan kebimbangan mengenai penularan wabak Covid-19 dalam negara dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang berkuatkuasa esok.
“Seri Paduka Baginda menzahirkan kegusaran dan menasihati seluruh rakyat supaya bertenang serta berdisiplin menjaga kesihatan diri masing-masing dengan mematuhi ketetapan tatacara kebiasaan baharu dan prosedur operasi standard (SOP),” katanya.-MT