ATM tahan 27 PATI cuba pulang ke negara asal

0
211
GAMBAR IHSAN ATM

CYBERJAYA – Pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjaya mematahkan cubaan sekumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI) daripada membolosi sempadan negara, awal pagi tadi.

Menurut Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen) dalam satu kenyataan sebentar tadi, operasi yang dijalankan di sekitar kawasan hutan Tanjung Lompat, Desaru itu merupakan kawasan tanggungjawab Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Briged) oleh pasukan Rejimen Pertama Kor Armor Diraja (1 KAD).

Bertindak susulan maklumat risikan awal, pasukan telah melaksanakan intipan awal selama dua hari, dan susulan itu, tinjauan rapat oleh anggota Pasukan Tindakan Cepat (QRF) dengan Tim Dron BSPP telah berjaya mengesan lokasi tepat kumpulan PATI tersebut berkumpul.

GAMBAR IHSAN ATM

Serbuan pada pukul 5 pagi itu berjaya menangkap seramai 26 orang PATI warga asing yang terdiri daripada 17 lelaki dan 9 perempuan, berusia di antara 20 hingga 49 tahun.

Kesemua PATI yang ditangkap dipercayai sedang menunggu bot untuk pulang ke negara asal menggunakan laluan yang tidak sah.

Pihak ATM turut merampas sejumlah wang tunai dalam pelbagai matawang, telefon bimbit, jam tangan dan barang kemas dengan nilai anggaran RM48,977.18.

Kesemua PATI yang ditangkap kemudiannya dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang bagi pemeriksaan dan saringan Covid-19 sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan selanjutnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here