Bayi mangsa terbaharu Covid-19 di Kelantan

0
370
Gambar hiasan

KOTA BHARU – Seorang bayi lelaki berusia setahun menjadi antara dua mangsa terbaharu positif Covid-19 di Kelantan.

Bayi berkenaan kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), manakala seorang lagi yang disahkan positif dirawat di Hospital Tumpat.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, seorang lagi lelaki berusia 25 tahun turut positif dan kedua-dua mangsa merupakan kontak rapat mangsa ke-162 di Kelantan.

“Kes 163 membabitkan seorang lelaki berusia 25 tahun iaitu adik kepada kes 162. Manakala kes 164 membabitkan seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun lima bulan iaitu anak saudara kepada kes 162.

“Kedua-dua kes ini mempunyai pendedahan kepada kes 162 pada 22 hingga 28 September iaitu sebelum kes 162 dimasukkan ke wad.

“Pengambilan sampel kedua-dua kes ini dilakukan pada 29 September 2020 iaitu semasa saringan kontak rapat kes 162 dan disahkan positif,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Mengulas lanjut, Dr Zaini berkata, mangsa bagi kes 162 mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah pada 19 hingga 22 September, sebelum disahkan positif Covid-19 pada Isnin lalu.

“Aktiviti pencegahan dan kawalan sedang dilakukan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kota Bharu bagi mengawal rantaian jangkitan.

“Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan mengamalkan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka semasa berada di tempat awam, elakkan bersalaman, bersentuhan dan berpelukan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here