Belanjawan 2021: Kerajaan diminta utamakan perbelanjaan demi pemulihan ekonomi

0
142
Datuk Seri Mohamad Hasan

CYBERJAYA – Kerajaan diminta supaya terus menggunakan pinjaman tempatan dengan memanfaatkan pasaran bon tempatan terutamanya Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) bagi menampung peningkatan perbelanjaan dalam Belanjawan 2021.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ini kerana penggunaan pinjaman tempatan tidak akan memberi kesan buruk kepada ekonomi memandangkan Malaysia tidak akan terikat dengan peraturan luar negara.

Katanya, pinjaman tempatan juga kurang terdedah kepada risiko perubahan kadar faedah asing serta risiko penyusutan mata wang kerana hutang tersebut adalah dalam denominasi ringgit.

“Usaha konsolidasi fiskal mesti ditangguhkan seketika sehingga tahun 2022, dengan harapan ekonomi negara akan dipulihkan sepenuhnya. Waktu itu, jika ekonomi pulih, perbelanjaan boleh dikurangkan dan langkah penjimatan diutamakan semula.

“Namun, strategi menggandakan perbelanjaan dan ransangan dalam Belanjawan 2021 bukanlah ‘blank cheque’ untuk kerajaan berbelanja secara boros.

“Perbelanjaan kerajaan masih perlu dirancang dan dilaksanakan dengan penuh akauntabiliti dan ketelusan, dengan tekad untuk mencegah segala bentuk ketirisan,” katanya hari ini.

Sehubungan itu, Mohamad berkata, buat masa ini, naratif untuk mengurangkan defisit kerajaan sebagai langkah pengukuhan fiskal perlu ditolak jauh.

Katanya, isu hutang negara boleh diuruskan kemudian kerana urusan lebih penting dalam Belanjawan 2021 ialah kelangsungan dan kesejahteraan kehidupan rakyat.

“Gelombang ketiga pandemik Covid-19 yang telah melanda negara kita akan melambatkan lagi pemulihan ekonomi negara hingga ke suku pertama 2021.

“Yang lebih merisaukan, satu daripada dua keluarga berpendapatan rendah di Kuala Lumpur kini berada dalam kemiskinan mutlak, dengan 37 peratus sukar membeli makanan mencukupi dan 70 peratus sukar memenuhi perbelanjaan keperluan asas, berdasarkan Laporan siri ke-2 ‘Families on the Edge’, oleh UNICEF dan UNFPA.

“Sekiranya pandemik dan perintah kawalan pelbagai peringkat ini berlanjutan, Malaysia mungkin berhadapan dengan pemulihan berbentuk keluk-K. Maksudnya, sesetengah industri memaparkan pemulihan ekonomi manakala industri lain terutamanya industri pelancongan dan penerbangan terus jatuh merudum,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here