Buat salah, tak buat lagi salah – Ismail Sabri

0
359
Ismail Sabri Yaakob

CYBERJAYA – Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh supaya bersama-sama membantu kerajaan dalam usaha memerangi Covid-19.

Tindakan itu menurutnya lebih baik daripada membuat kritikan tidak membina supaya sidang media Kementerian Pertahanan yang dikendalikan beliau setiap hari dihentikan.

Dalam kenyataan semalam, Hannah Yeoh menyifatkan sidang media itu seolah-olah mahu mempromosikan baju dan barang pameran di rak (latar belakang sidang media).

Permintaan itu menurut Ismail adalah alasan untuk mengkritik apa sahaja yang dilakukan kerajaan termasuk menggunakan sindiran yang tidak rasional.

“Saya tidak tahu, kabinet ini sudah ada di sini. Takkan nak dibuang. Lagi pun ini Kementerian Pertahanan.

“Saya tidak mempromosikan apa-apa. Hanya memaklumkan tindakan harian yang rakyat mahu tahu,” katanya merujuk kepada rak yang mempamerkan replika aset kementerian itu.

Ismail Sabri berkata, sidang media itu perlu dilakukan untuk menyampaikan maklumat dan tindakan yang telah, sedang dan akan dilakukan kerajaan.

“Rakyat ingin tahu juga apa yang dilakukan pihak berkuasa terhadap orang yang gagal patuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Kalau kita tak laporkan apa pihak berkuasa buat pun tak boleh juga. Jadi saya laporkan setiap hari,” katanya.

Dalam kenyataan berbaur sindiran, Hannah mendakwa rakyat semakin keliru dengan pengumuman sidang media menteri itu.

Selain itu, Hannah turut mengandaikan bahawa jika Covid-19 tidak menjejaskan ekonomi negara, tindakan menteri yang tidak cekap akan membawa implikasi lebih buruk.

“Hentikan kekeliruan, ia akan menghentikan Covid-19! Apa yang paling menakutkan kita ialah sekiranya Covid-19 tidak pun membunuh ekonomi kita, semestinya ketidakcekapan para menteri akan melakukannya,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here