Covid-19: Bank Islam di Lahad Datu ditutup

0
439

LAHAD DATU – Bank Islam Malaysia Berhad mengumumkan penutupan operasi cawangan Lahad Datu sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan selepas seorang petugas bank itu disahkan positif Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata,
penutupan premis termasuk terminal layan diri itu berkuat kuasa serta merta selepas kakitangan yang menjalani tempoh kuarantin di rumah sejak 28 September lalu disahkan positif.

Kakitangan itu dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Tawau baru-baru ini.

“Bank Islam sedang menjalankan proses sanitasi dan pembersihan cawangan itu secara menyeluruh, termasuk ruang-ruang kemudahan umum.

“Bank juga telah melakukan langkah penjejakan kontak rapat untuk mengenal pasti dan memaklumkan kepada individu yang mempunyai hubungan langsung dengan kakitangan terbabit serta menasihati mereka supaya menjalani saringan kesihatan dan kuarantin di rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Muazzam turut memberi jaminan keselamatan dan kesihatan kakitangan serta pelanggan menjadi keutamaan bank tersebut dan langkah pencegahan yang ketat diambil bagi menangani penularan Covid-19.

Beliau berkata, Bank Islam menggalakkan pelanggan menggunakan platform perkhidmatan perbankan digital termasuk aplikasi mudah alih GO by Bank Islam atau Perbankan Internet Bank Islam.

“Bank Islam juga akan mengecualikan caj pengeluaran tunai di mesin MEPS supaya pelanggan bebas melakukan pengeluaran di mana-mana mesin ATM yang berdekatan sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Bersasar (PKPDB) ini.

“Pelanggan juga dinasihat agar merujuk platform media sosial kami untuk sebarang perkembangan terkini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here