Covid-19: Bayi berusia setahun antara yang maut hari ini

0
245
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Sebanyak empat kes kematian akibat jangkitan Covid-19 dilaporkan hari ini iaitu antara angka harian tertinggi pernah dicatatkan di seluruh negara sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, salah satu kes kematian yang dilaporkan hari ini melibatkan seorang bayi perempuan warganegara tempatan berusia satu tahun di Sabah.

“Kes dibawa mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Semporna pada 1 Oktober lalu. Keadaan kesihatan kes didapati merosot dan memerlukan bantuan pernafasan.

“Saringan Covid-19 didapati positif semalam. Kes disahkan meninggal dunia semalam jam 4.25 petang,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Menurut Dr. Noor Hisham, tiga lagi kes kematian melibatkan tiga lelaki warga emas yang merupakan rakyat tempatan.

“Kes kematian ke-138 merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 60 tahun. Kes telah dimasukkan ke Hospital Duchess of Kent Sandakan pada 25 September lalu. Keadaan kes didapati merosot dan disahkan meninggal dunia kelmarin jam 6.50 pagi.

“Kes kematian ke-139 merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 60 tahun. Kes mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Semporna pada 1 September lalu dan disahkan meninggal dunia semalam jam 5.05 pagi.

“Kes kematian seterusnya merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 85 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi dan penyakit kesihatan mental.

“Kes ditemui tidak sedar diri pada kelmarin pada jam 7 pagi dan terus dibawa terus ke Hospital Pulau Pinang. Kes didapati tidak bernafas di Hospital Pulau Pinang dan disahkan meninggal dunia semalam,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here