
KOTA KINABALu – Jumlah kes positif Covid-19 yang diumumkan di negeri ini tidak menggambarkan jumlah kes harian yang tepat kerana jumlah keseluruhan kes masih bercampur dengan kes harian dengan kes ujian tertunggak.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, jumlah sebenar kes hanya akan dapat diketahui selepas 6,653 ujian tertunggak diketahui keputusannya namun masih tiada belum diketahui bila ia dapat diselesaikan.
“Selepas kes-kes tertunggak ini selesai kami akan dapat angka yang lebih realistik dan suatu cerminan tepat kes di Sabah. Kami harap diselesaikan segera, tiga hospital swasta dilantik untuk bantu dan ia dihantar terus ke Kuala Lumpur untuk proses,” katanya memetik laporan Bernama.
Semalam, Sabah mencatat kes 578 kes positif Covid-19 daripada keseluruhan 847 kes seluruh negara.
Dalam pada itu, beliau berkata semua pusat rawatan untuk Covid-19 di negeri ini masih mempunyai jumlah katil yang mencukupi bagi memenuhi keperluan rawatan penyakit itu walaupun katil di hospital kini digunakan pada kadar yang maksimum.
“Selain hospital, kerajaan ada 23 pusat rawatan yang ditempatkan pesakit Covid-19 berisiko rendah tahap satu dan dua, ini sedikit sebanyak memberikan ruang buat hospital merawat pesakit yang lebih serius,” katanya.
Masidi berkata setakat ini seramai 13 guru, 27 pelajar dan dua petugas Jabatan Pendidikan Sabah telah dijangkiti COVID-19 dan sedang menjalani rawatan.
“Punca jangkitan guru, pelajar dan petugas ini masih disiasat, buat masa ini punca jangkitan ini kami tidak kesan daripada mana-mana kluster yang dilaporkan,” katanya.