Covid-19: Operasi perniagaan di Kuantan dan Jerantut setakat 12 tengah malam

0
255

CYBERJAYA- Kerajaan negeri Pahang mengehadkan operasi perniagaan di Kuantan dan Jerantut setakat pukul 12 tengah malam sahaja susulan penularan wabak Covid-19.

Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak berkata, acara keramaian termasuk kenduri yang melebihi 100 orang pada satu-satu masa juga perlu ditangguhkan 14 hari daripada hari terakhir kes dikesan.

Dr. Sallehuddin berkata, masjid, surau dan rumah ibadat di kawasan lokaliti ada kes aktif perlu ditutup selama tempoh sama, termasuk aktiviti pekan sehari dan pasar malam.

“Bagi kontak rapat kepada kes positif yang hadir ke sekolah sebelum pengesanan dibuat, kelas terbabit akan ditutup selama 14 hari.

“Pasar raya yang menjadi tumpuan umum diingatkan untuk memastikan pematuhan operasi prosedur standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengelakkan penularan.

“Semua aktiviti riadah dan sosial dibenarkan sehingga 12 tengah malam sahaja. Aktiviti ini perlu tertakluk kepada pematuhan SOP. Jika SOP sukar dipatuhi, maka penganjurannya adalah tidak dibenarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr. Sallehuddin bagaimanapun berkata, semua larangan terbabit tidak terpakai kepada pusat perubatan, klinik dan stesen minyak.

“Penularan Covid-19 di Pahang masih terkawal dan kebanyakan kes baharu membabitkan individu dengan sejarah perjalanan ke Sabah,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan mereka yang pulang dari Sabah supaya melakukan kuarantin kendiri selama 14 hari selepas ketibaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here