
CYBERJAYA – Semua sekolah di daerah Petaling diarahkan ditutup bermula esok sehingga 25 Oktober ini selepas daerah itu diisytiharkan sebagai zon merah berikutan peningkatan kes Covid-19.
Menurut Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan, penutupan itu melibatkan sebanyak 298 buah sekolah di seluruh daerah Petaling.
“Bilangan ini merangkumi sekolah rendah dan menengah di bawah KPM serta sekolah
swasta yang berdaftar dengan KPM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi, turut terlibat ialah
sekolah yang mempunyai asrama termasuk kolej vokasional.
Berikutan itu, katanya, ibu bapa atau penjaga perlu mengambil murid yang tinggal di asrama tersebut untuk pulang.
Namun begitu, katanya, murid yang menunggu untuk diambil ibu bapa atau murid yang ingin terus kekal berada di asrama sekolah dan kolej vokasional sepanjang tempoh penutupan sekolah akan berada di bawah penjagaan warden asrama.
“Dalam tempoh penutupan sekolah ini, pengetua dan guru besar akan memastikan guru-guru serta murid melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah mengikut kesesuaian guru dan murid.
“Manual pengajaran dan pembelajaran di rumah boleh dimuat turun di portal rasmi
KPM www.moe.gov.my.
“Bagi kebanyakan sekolah yang kini sedang melaksanakan peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sekolah yang terlibat dengan penutupan boleh menjadualkan semula peperiksaan ini ke suatu tarikh yang bersesuaian kelak,” katanya.-MT