Covid-19 : TM Terengganu tutup empat premis

0
269
Salah satu daripada premis TM Terengganu yang ditutup susulan kes positif kakitangan syarikat itu.

KUALA TERENGGANU – Telekom Malaysia (TM) menutup empat premis di negeri ini ekoran salah seorang kakitangannya disahkan positif Covid-19.

Empat premis berkenaan adalah TM Jalan Sultan Ismail yang merangkumi pejabat TM Kuala Terengganu dan cawangan TMpoint Kuala Terengganu; TM Jalan Air Jernih, TM Jalan Pusara dan TM Medan Jaya.

Pengarah Wilayah Timur Telekom Malaysia Berhad, Mohd Yazid Abd. Manaf berkata, penutupan premis itu dilakukan bagi melaksanakan kerja-kerja nyah kumah seperti ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

“TM sentiasa mengambil langkah proaktif bagi mengekang penyebaran virus ini dan memastikan keselamatan para pelanggan, anggota dan masyarakat.

“Sehubungan ini kita mengambil langkah menutup premis ini berikutan pengesahan satu kes positif Covid-19 dalam kalangan kakitangan di TM Terengganu.

“Kakitangan terlibat kini menjalani kuarantin dan menerima rawatan di hospital kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, pengesanan kontak rapat sedang dilakukan pihak KKM dengan dibantu oleh Pasukan Tindak Balas Krisis (Crisis Response Team – CRT) Covid-19 TM.

Dalam pada itu, katanya, premis-premis TM yang lain di negeri itu termasuk premis-premis TMpoint masih beroperasi seperti biasa.

“Bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan kepada para pelanggan kami, anggota- anggota TM Terengganu dalam fungsi bukan kritikal telah diminta bekerja dari rumah sehingga 31 Oktober 2020,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here