DAP tuduh Kabinet GRS anti perpaduan

0
333

KOTA KINABALU – DAP menuduh struktur Kabinet yang dibentuk kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak menghormati dan mengetepikan aspek kepelbagaian budaya dan bangsa penduduk negeri itu.

Dakwaan itu susulan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Pas dan tiada menteri dari kaum Cina dilantik mewakili komuniti itu seperti yang dilakukan dalam kerajaan sebelum ini.

Pemangku Pengerusi DAP, Datuk Frankie Poon berkata, pelantikan ADUN Pas dalam Kabinet negeri itu membuktikan GRS terutama Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor seorang yang mementingkan kuasa politik dan menjadi seorang Ketua Menteri yang mematuhi arahan kerajaan Persekutuan saja.

Katanya, pelantikan Setiausaha Pas Sabah, Aliakbar Gulasan juga akan mencetuskan sentimen perkauman dan menjejaskan keharmonian kaum di negeri itu.

“Pas tidak bertanding dalam pilihan raya lalu tetapi masih dilantik sebagai ADUN lantikan. 

“Hajiji juga tidak mengamalkan kepelbagaian kaum dalam pembentukan kerajaan dan tiada menteri kaum Cina dilantik mewakili komuniti Cina,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Katanya lagi, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Jeffery Kitingan yang juga Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili pernah mengatakan bahawa GRS tidak akan melantik wakil dari Pas dalam kerajaan Sabah.

“Jika mereka masih berpendirian sebagai wakil parti Sabah, letak jawatan Kabinet untuk menunjukkan tidak puas hati dengan keputusan Hajiji yang tidak selaras dengan tuntutan mereka.

“Janganlah mengikut segala keputusan Hajiji demi kedudukan sebagai menteri,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here