
CYBERJAYA – Satu mesyuarat khas Majlis Raja-Raja Melayu akan diadakan hari ini bagi membincangkan cadangan yang dipersembahkan oleh kerajaan sebagai langkah untuk mengawal penularan pandemik Covid-19.
Dalam satu hantaran menerusi laman Facebook milik Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, baginda bertitah berangkat ke mesyuarat khas Majlis Raja-Raja Melayu pada hari ini.
Semalam, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah bertitah, baginda berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk sembah taklimat cadangan yang sudah dicapai oleh Mesyuarat Khas Jemaah Menteri kelmarin.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, susulan itu
Yang di-Pertuan Agong akan mengadakan pertemuan dengan raja-raja Melayu di Istana Negara bagi memperhalusi cadangan itu.
Beliau berkata, ini kerana baginda sangat memahami keperluan kelangsungan pentadbiran negara untuk memerangi ancaman wabak Covid-19.
Kelmarin, seluruh negara digemparkan dengan ura-ura kerajaan mahu menggunakan darurat kesihatan sebagai langkah akhir bagi menangani kemelut politik yang berlaku sekarang.
Susulan itu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menghadap Yang di-Pertuan Agong pada hari sama untuk mempersembahkan cadangan tersebut.-MT