Deklarasi Cyberjaya seru seluruh rakyat wajib patuh pada Perlembagaan, Rukun Negara

0
513
Nazim (kiri) bersama Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim ketika majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dan nota permuafakatan dalam memperkukuhkan gerakan sempena Deklarasi Cyberjaya 10.10.2020 di Malakat Mall, CYberjaya, hari ini. – MALAKAT TRIBUNE

CYBERJAYA – Sebanyak 36 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan serta syarikat korporat tempatan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dan nota permuafakatan dalam memperkukuhkan gerakan sempena Deklarasi Cyberjaya 10.10.2020.

Deklarasi itu yang diumumkan di Malakat Mall, Cyberjaya hari ini, merupakan inisiatif Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dalam menggabungkan kekuatan ekonomi pengguna terutamanya dalam kalangan bumiputera.

Menurut Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nazim Johan, deklarasi tersebut merupakan seruan kepada seluruh masyarakat di Malaysia tanpa mengira kaum dan agama untuk mengembalikan paksi kefahaman dalam teras pemikiran dan tingkah laku.

“Kita mahu menyatukan kuasa pengguna untuk dijadikan sebagai satu pergerakan yang dapat membantu melepaskan kita daripada tekanan manipulasi oleh pihak kapitalis terutamanya dalam usaha menjana ekonomi,” katanya sejurus majlis menandatangani memorandum deklarasi tersebut, hari ini.

Turut bekerjasama menjayakan deklarasi itu adalah Yayasan Patriot Negara Malaysia; Persatuan Pergerakan Keadilan Keamananan dan Kemanusiaan Antarabangsa; Pertubuhan Kemanusiaan Rakyat Malaysia dan Pertubuhan Anti Diskriminasi dan Salahlaku bersama Gabungan NGO Islam dan Melayu Malaysia.

Mengulas lanjut, katanya, gesaan itu juga bertujuan supaya semua warganegara wajib akur dan patuh kepada undang-undang watan yang berteraskan kepada Perlembagaan dan Rukun Negara.

Jelasnya, cabaran dalam isu agama, bahasa, hak istimewa, pencabulan hak tanah dan harta, diskriminasi dalam bidang perniagaan, pekerjaan dan kerjaya menjadi faktor utama mengapa deklarasi tersebut perlu disokong dan diperkukuhkan dalam kesatuan ummah serta diarusperdanakan secara bersungguh-sungguh.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here