Dr Noor Hisham akui kadang-kadang tertekan dan hadapi kelesuan

0
281
Dr. Noor Hisham Abdullah

CYBERJAYA – Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mendedahkan perlu berhadapan tekanan yang tinggi sejak gelombang pertama Covid-19 melanda negara.

Malah, Dr Noor Hisham berkata, beliau sendiri turut mengalami kelesuan serta tekanan mental dan fizikal yang amat tinggi sepanjang tempoh tersebut.

“Ini adalah kerana kami berperang berterusan tanpa henti untuk 10 bulan tanpa cuti. Setiap hari, kami ada mesyuarat dan ada tindakan.

“Setiap lapisan warga kerja Kementerian Kesihatan (KKM) membuat kerja dengan sebaik mungkin dan mungkin ada yang terkesan iaitu tekanan yang tinggi, termasuk KP (Ketua Pengarah) Kesihatan juga berdepan tekanan yang amat tinggi,” katanya dalam sidang akhbar harian Covid-19 hari ini.

Menyentuh lebih lanjut, Dr Noor Hisham berkata, ada ketikanya beliau sendiri perlu berjaga di awal pagi untuk memikirkan cara untuk mengawal penularan Covid-19.

“Kadang-kadang malam pun tidak boleh tidur kerana kami perlu fikirkan pelbagai aktiviti dan bagaimana kami boleh selesaikan masalah ini.

“Walaupun diberikan masa untuk berehat, kami tidak boleh berehat. Tengah malam pun bangun pada jam 3 atau 4 pagi dan masih memikirkan bagaimana untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya.

Namun begitu, Dr Noor Hisham berkata, kakitangan KKM masih dapat bertahan dan kekal bersemangat untuk memerangi Covid-19.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here