Guru tadika saman PDRM RM100j

0
23346

KUALA LUMPUR – Seorang guru tadika memfailkan saman terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta tiga lagi yang didakwa gagal melaksanakan waran komital untuk menangkap bekas suaminya, Muhammad Riduan Abdullah dan memulangkan anak perempuan mereka berusia 12 tahun yang dilarikan lelaki itu kira-kira 11 tahun lepas.

Memetik laporan Bernama, M. Indira Gandhi, 45, memfailkan saman itu melalui Tetuan Raj & Sach melalui sistem e-pemfailan dengan menamakan Ketua Polis Negara (KPN), PDRM, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama hingga keempat.

M. Indira Gandhi

Dalam penyataan tuntutan, plaintif mendakwa defendan pertama iaitu KPN telah dengan sengaja dan cuai tidak menghiraukan perintah mandamus daripada Mahkamah Persekutuan kerana gagal membuat siasatan atau mengambil tindakan sewajarnya untuk mengembalikan Prasana Diksa kepadanya.

Indira mendakwa KPN dalam kenyataan media pada 27 Jan lepas telah menyatakan bahawa beliau mengetahui lokasi bekas suaminya yang sebelum ini dikenali sebagai K. Patmanathan, 51, dan sedang berusaha mencapai suatu ‘akhiran bahagia’ untuk plaintif.

“Kenyataan defendan pertama dengan jelas menunjukkan bahawa defendan pertama tidak menangkap Muhammad Riduan (Patmanathan) dan mengembalikan Prasana kepada saya walaupun beliau mempunyai pengetahuan akan lokasi Muhammad Riduan,” kata wanita itu.

Beliau mendakwa kesemua defendan mempunyai peranan dalam membuat keputusan atau memberi arahan kepada PDRM bagi melaksanakan waran komital terhadap Muhammad Riduan seperti yang diperintahkan Mahkamah Persekutuan pada 29 April 2016.

Plaintif juga mendakwa kelakuan kesemua defendan secara langsung menyebabkan perpisahan antara beliau dengan anak bongsunya itu berlanjutan sehingga hari ini dan Muhammad Riduan berjaya melarikan diri.

Oleh itu, Indira antara lain menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan serta faedah selain memohon deklarasi bahawa defendan pertama telah melakukan ‘tort nonfeasance’ di pejabat awam dan defendan kedua, ketiga dan keempat bertanggungjawab secara vikarius bagi tort nonfeasance yang dilakukan defendan pertama.

Indira berkata beliau telah berkahwin dengan Patmanathan pada 10 April 1993 dan mempunyai tiga anak hasil perkahwinan itu.

Bagaimanapun, beliau berkata pada 11 Mac 2009, lelaki itu telah memeluk agama Islam dan turut menukar agama ketiga-tiga anak mereka kepada Islam serta memperoleh hak penjagaan kesemua anak mereka daripada Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh pada 29 Sept 2009.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here