Hampir setengah juta rakyat Malaysia hadapi tekanan, depresi

0
333

KUALA LUMPUR – Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 mendapati hampir setengah juta rakyat di negara ini mengalami simptom tekanan mental atau depresi.

Penaung Befrienders Kuala Lumpur, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, kajian NHSM 2019 itu juga mendapati kira-kira 424,000 kanak-kanak di negara ini mengalami masalah kesihatan mental.

“Separuh daripada masalah gangguan mental mula dikesan pada usia 14 tahun dan tiga per empat daripadanya pada pertengahan usia 20-an. Perkara ini perlu ditangani segera,” katanya dalam satu kenyataan sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia 2020 dipetik Bernama hari ini.

Beliau berkata, pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) turut menyebabkan tekanan emosi susulan perubahan persekitaran kerja seperti perlu bekerja dari rumah, hilang punca pendapatan dan pekerjaan serta bimbang terhadap keselamatan.

“Ada juga yang rasa ingin bunuh diri. Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan 465 kes cubaan bunuh diri antara Januari dan Jun tahun ini,” katanya.

Lee berkata, walaupun keadaan bertambah baik dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), statistik Befrienders Kuala Lumpur pula menunjukkan sebaliknya apabila terdapat peningkatan panggilan diterima daripada mereka yang mengalami kesusahan dan ingin bunuh diri pada bulan Julai, Ogos dan September berbanding April, Mei dan Jun.

Justeru, beliau berkata, kerajaan dan KKM perlu menyediakan peruntukan khas untuk menangani masalah kesihatan mental daripada bajet yang diterima KKM.

Katanya, dalam Bajet 2020, hanya RM344.82 juta diperuntukan untuk kesihatan mental iaitu pada kadar lebih dari satu peratus daripada keseluruhan peruntukan kesihatan, jauh lebih rendah berbanding purata 2.8 peratus di peringkat antarabangsa.

“Data dari tahun 2018 menunjukkan terdapat 410 psikiatri di negara ini dengan nisbah psikiatri kepada penduduk 1.27 per 100,000.

“Ini jauh lebih rendah daripada nisbah disyorkan Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO) antara satu hingga 10,000,” katanya.

Sementara itu, Lee juga menggalakkan Kementerian Pendidikan menambah aspek kesihatan mental dalam silibus pendidikan termasuk membina daya tahan, belajar pengurusan tekanan dan kemahiran menyelesaikan masalah.

Pada masa sama, beliau berkata, ibu bapa juga memainkan peranan penting untuk menyediakan persekitaran yang penuh kasih sayang dan memberi semangat kepada anak-anak untuk membesar dengan selamat, sedia meluahkan perasaan dan bercakap secara terbuka mengenai kesihatan mental mereka.

“Semua itu boleh menyumbang kepada peningkatan kesihatan mental. Mulakan dengan amalan penjagaan diri seperti pemakanan sihat, bersenam setiap hari dan tidur yang mencukupi setiap malam,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here