Hanya 10 peratus dibenarkan bekerja di pejabat, terhad 4 jam sehari, 3 kali seminggu

0
561
Mohamed Azmin Ali

CYBERJAYA – Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengehadkan hanya 10 peratus pekerja bahagian pengurusan dan penyeliaan meneruskan kerja di pejabat sepanjang tempoh arahan bekerja dari rumah (BDR) yang berkuatkuasa esok.

MITI juga menetapkan had waktu bekerja bagi kumpulan yang berada di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dihadkan kepada hanya empat jam bermula dari 10 pagi hingga 2 petang pada kekerapan 3 hari seminggu.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, MITI memandang serius gesaan Kementerian Kesihatan (KKM) yang menasihatkan orang ramai terus berada di rumah supaya lekuk jangkitan Covid-19 dapat diratakan.

Katanya, kumpulan pekerja yang berkait dengan arahan itu adalah dalam tugasan perakaunan, kewangan, pentadbiran, perundangan, perancangan dan ICT.

“Syarikat tidak perlu mengemukakan permohonan bagi tujuan ini. Majikan hanya perlu mengeluarkan surat pelepasan perjalanan bagi setiap kakitangan yang dibenarkan bekerja sepanjang tempoh PKPB.

“Majikan perlu menetapkan garis panduan BDR yang bersesuaian mengikut keperluan syarikat masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, langkah yang selaras dengan keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN)itu akan dilaksanakan MITI demi melindungi kesihatan rakyat dan pekerja terutama di kawasan yang menjalani PKPB.

Katanya, berdasarkan pangkalan data Sistem Pengurusan Pintar Covid-19 MITI (CIMS), jumlah pekerja yang berdaftar dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan pembinaan di Sabah, Labuan, Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya pada masa ini adalah seramai 3.1 juta orang.

“Daripada jumlah itu, maklumbalas yang diterima daripada industri, seramai 776,135 orang pekerja atau 25 peratus adalah pekerja dalam bidang pengurusan dan penyeliaan.

“Sehubungan itu, MITI akan meneruskan pemantauan dan penguatkuasaan yang tegas bagi memastikan pelaksanaan dan pematuhan Prosedur Operasi Standard dalam kalangan pihak industri dipatuhi,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here