
MEKAH – Kerajaan Arab Saudi akan membenarkan umat Islam di seluruh dunia mengerjakan ibadat umrah bermula 1 November ini dengan memperketatkan syarat kemasukan ke kota suci itu.
Saudi Gazette melaporkan, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengehadkan kemasukan jemaah berusia antara 18 hingga 50 tahun dengan syarat tiga hari kuarantin selepas tiba di negara itu.
Selain itu, para jemaah juga disyaratkan mempunyai sijil ujian kesihatan PCR yang menunjukkan mereka bebas Covid-19.
“Ujian sampel itu perlu diambil dan dikeluarkan oleh makmal bertauliah di negara jemaah.
“Jemaah juga perlu mendapat kebenaran untuk melakukan umrah selain lawatan ke dua Masjid Suci dan melakukan solat di Rawdah Sharif dengan mendaftar di aplikasi Eatmarna,” katanya.
Selain itu, syarikat umrah perlu mengesahkan maklumat tepat berdasarkan pasport jemaah termasuk tarikh lahir, sekurang-kurangnya 34 jam sebelum hari ketibaan termasuk maklumat penginapan di Makkah dan Madinah.
Melalui sistem itu, data tiket penerbangan juga perlu ada dalam sistem, termasuk nombor tiket, nombor ketibaan pesawat, negara berlepas, masa dan tarikh pelepasan, negara ketibaan, masa dan tarikh tiba serta maklumat penerbangan lain.
Jemaah perlu dibahagikan kepada kumpulan dengan minimum seramai 50 jemaah dalam satu kumpulan.
Pada masa sama, syarikat umrah perlu melantik seorang ketua untuk mengawal setiap kumpulan berkenaan.