Ingatkan kereta rosak, rupanya tunggu PATI

0
299
Seorang lelaki warga tempatan (kanan) turut ditahan dalam operasi awal pagi tadi. – GAMBAR IHSAN ATM

CYBERJAYA – Tindakan seorang lelaki meletakkan kenderaannya di tepi jalan dalam keadaan mencurigakan membawa kepada penemuan tiga orang pendatang tanpa izin (PATI) yang cuba menyusup masuk ke dalam negara.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen) dalam satu kenyataan hari ini berkata, kesemua PATI berkenaan ditemui hasil soal siasat yang dijalankan terhadap lelaki berkenaan.

“Semasa rondaan oleh Tim Quick Reaction Force (QRF) di sekitar Pantai Tanjung Buluh, Sedili Kechil telah melihat sebuah kenderaan Toyota Hilux yang mencurigakan diletakkan di bahu jalan sekitar jam 12 malam,” kata kenyataan itu.

GAMBAR IHSAN ATM

Kawasan ini merupakan sektor Op Benteng yang dipertanggungjawabkan kepada Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Briged).

“Hasil soal siasat mendapati pemandu tersebut yang merupakan warga tempatan berusia 32 tahun, sedang menunggu PATI di lokasi berhampiran,” kata kenyataan itu lagi.

Hasil maklumat yang diterima, para anggota mula menggerakkan operasi penjejakan, yang mana seramai tiga PATI berusia sekitar 31 hingga 57 tahun berjaya ditahan di Ladang Belukar Durian, Sedili Kechil sekitar pukul 12.30 awal pagi tadi.

“Tim anggota turut merampas sebuah kenderaan Toyota Hilux, telefon bimbit dan wang tunai dianggarkan bernilai keseluruhan RM73,750.56,” kata kenyataan itu lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here