JPJ komited tambah baik proses pelesenan

0
268
Aminurrahim Mohamed

PUTRAJAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yakin inisiatif penambah baikan garis panduan permohonan lesen dan permit yang bakal dilaksanakan dapat meningkatkan kecekapan dan kualiti penyampaian agensi berkenaan.

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JPJ, Aminurrahim Mohamed berkata, keperluan penambah baikan itu diputuskan selepas pihaknya menyertai Bengkel Pembangunan Garis Panduan Pelesenan Perniagaan JPJ bersama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) baru-baru ini.

Beliau berkata, usaha melalui semakan semula garis panduan pelesenan itu diharap dapat meningkatkan aspek ketelusan, produktiviti dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan para pegawai JPJ.

“Usaha ini selaras dengan strategi inisiatif Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) 2019 – 2023 untuk membentuk mekanisme yang telus, kukuh dan efektif terutama dalam proses pengeluaran permit dan lesen.

“Selain memantapkan kualiti perkhidmatan pelanggan, ia juga berkesan dalam mengukuhkan integriti perkhidmatan awam sekaligus mencegah peluang berlakunya rasuah dan salah laku” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Bengkel Pembangunan Garis Panduan Pelesenan Perniagaan JPJ di Hotel Everly, Putrajaya baru-baru ini.

Bengkel Pembangunan Garis Panduan Pelesenan Perniagaan JPJ di Hotel Everly, Putrajaya baru-baru ini

Program merupakan kerjasama JPJ dengan MPC dan Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC).

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah MPC, Zahid Ismail berkata, kerjasama itu merupakan mandat MPC untuk memastikan garis panduan kaedah permohonan dinaik taraf menjadi lebih berkualiti dan efektif untuk kegunaan umum.

Tambah beliau, inisiatif itu pada akhirnya diharap akan menyumbang kepada peningkatan produktiviti kerja dan pertumbuhan aktiviti ekonomi negara.

“MPC sedia bekerjasama dengan kementerian dan agensi kerajaan terutama yang terlibat dalam urusan pengeluaran lesen dan permit.

“Ini kerana kaedah pelesenan yang efektif, telus dan efisien menjamin persekitaran perniagaan yang lebih kondusif dan memudahkan urusan orang awam,” katanya.

Zahid berkata, penganjuran bengkel itu pada dasarnya adalah kerjasama yang bertujuan menilai dan menyemak kaedah permohonan lesen dan permit sedia ada sekaligus mencari ruang penambah baikan.

Katanya, dokumen garis panduan yang dibangunkan ini akan dimuat naik ke dalam Unified Public Consultation (UPC) bagi tujuan mendapatkan maklumbalas daripada pihak berkepentingan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here