Jumlah penjawat awam ke pejabat dihadkan 30 peratus sahaja

0
185
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Bermula esok sehingga tamat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan, hanya 30 peratus daripada jumlah maksimum pegawai perkhidmatan awam Persekutuan dibenarkan berada di pejabat.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd. Khairul Adib Abd. Rahman berkata, peraturan itu terpakai untuk negeri yang berada dalam PKPB iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, Selangor, Putrajaya serta Sabah.

Beliau berkata, langkah itu diambil sebagai pencegahan tambahan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

“Bermula 22 Oktober (esok) hingga tamatnya tempoh PKPB, ketua jabatan hendak memastikan keberadaan pegawai perkhidmatan awam Persekutuan ke pejabat adalah pada tahap maksimum 30 peratus.

“Bagi maksud ini, ketua jabatan diarah supaya memastikan semua pegawai di peringkat pengurusan dan pentadbiran kementerian, jabatan dan agensi yang tidak diperlukan berada di pejabat sepenuh masa, dijadualkan supaya bekerja dari rumah (BDR).

“Ia boleh dilakukan secara sama ada secara penggiliran atau sepenuh masa supaya kehadiran mereka di pejabat dioptimumkan pada kadar minimum sepanjang PKPB dikuatkuasakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan pekerja sektor swasta dan awam bekerja dari rumah bermula esok sepanjang tempoh PKPB ini.

Ia berikutan pertambahan secara mendadak kes Covid-19 di Lembah Klang terutamanya di Selangor.

Dalam pada itu, Mohd. Adib berkata, susulan arahan itu, semua aktiviti bersemuka seperti mesyuarat, perbincangan atau latihan tidak dibenarkan dan hendaklah dilaksanakan secara atas talian sepenuhnya.

Katanya, sebagai langkah berterusan bagi mencegah Covid-19, ketua jabatan hendaklah memastikan pematuhan sepenuhnya kepada semua peraturan, garis panduan dan surat edaran dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN); Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Dokumen rahsia rasmi tidak dibenarkan untuk dibawa keluar sepanjang tempoh ini.

“Namun, ketua jabatan boleh mempertimbangkan atas kepentingan tugasan dan prinsip BDR untuk memberi kebenaran membawa keluar dari pejabat dokumen rahsia rasmi termasuk salinan berpandukan garis panduan membawa rahsia rasmi keluar dari pejabat semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here