
KUALA LUMPUR – Seorang kakitangan syarikat perniagaan peralatan komputer di pusat beli belah Sogo Kuala Lumpur disahkan positif Covid-19 dalam ujian saringan pada Jumaat lalu.
Sogo Malaysia dalam kenyataannya di Facebook memaklumkan, petugas di premis All It Hypermart itu tidak hadir bekerja sejak 12 Oktober lalu dan kini berada dalam pemantauan pihak hospital.
“Sebagai langkah pencegahan, kami telah menutup premis jualan berkenaan dan seluruh tingkat tujuh pada Jumaat untuk kerja sanitasi dan nyahkuman termasuk kawasan awam sekitarnya.
“Premis di tingkat berkenaan beroperasi semula semalam kecuali premis yang dikesan terlibat dalam kes positif sehingga notis selanjutnya,’’ menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, pihak pengurusan Sogo telah melakukan pengesanan kontak rapat kakitangan terbabit melalui daftar masuk kod QR.
Sogo Malaysia memaklumkan operasi perniagaan di pusat beli belah itu berjalan seperti biasa dari tingkat bawah sehingga ke tingkat enam.