
CYBERJAYA – Universiti Malaysia Pahang (UMP) memaklumkan penangguhan urusan kemasukan pelajar dari Sabah dan kawasan diklasifikasikan sebagai zon merah secara bersemuka di kampus Pekan dan Gambang yang dijadual bermula secara berperingkat mulai 12 Oktober ini.
Menurut UMP dalam satu kenyataan hari ini, kemasukan pelajar yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah dalam tempoh 14 hari sebelum tarikh pendaftaran juga adalah ditangguhkan.
“Arahan penangguhan kemasukan pelajar secara fizikal ini meliputi semua peringkat pengajian dan kategori pelajar. Proses pendaftaran pelajar baharu dari Sabah dan zon merah hendaklah dilakukan secara dalam talian,” kata Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMP, Profesor Datuk Dr. Yuserrie Zainuddin dalam kenyataan tersebut.
“Mereka akan dibenarkan hadir di UMP mengikut prosedur sedia ada selepas keadaan di negeri atau kawasan itu kembali pulih,” kata beliau lagi.
Dr. Yuserrie turut memaklumkan, proses pendaftaran pelajar baharu akan dilakukan secara dalam talian mulai 5 hingga 9 Oktober bagi tujuan pengaktifan status sebagai pelajar UMP termasuk tujuan pengajaran dan pembelajaran.
Langkah ini adalah selari dengan kenyataan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang menyarankan semua institusi pengajian tinggi menangguhkan pendaftaran kemasukan pelajar baharu dan lama dari kawasan zon merah secara bersemuka yang dijadualkan bermula Oktober ini.
Bagi pelajar lama dan baharu dari negeri selain Sabah dan zon merah, proses kemasukan adalah kekal mengikut jadual dengan pematuhan kepada panduan serta prosedur operasi standard yang ditetapkan pihak berkuasa.
“Pelaksanaan minggu induksi siswa serta aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran akan diteruskan mengikut jadual secara dalam talian mengikut kalender akademik UMP,” katanya lagi.