
KOTA KINABALU – Ketua Menteri Sabah, Hajiji Mohd. Noor dan isteri, Julia Salag yang disahkan pulih daripada jangkitan Covid-19 dibenarkan keluar dari Hospital Queen Elizabeth (QEH) Kota Kinabalu pagi ini.
Hajiji disahkan positif wabak itu pada 9 Oktober lalu selepas membuat ujian saringan susulan salah seorang daripada kakitangannya disahkan positif Covid-19.
Sejak dimasukkan ke QEH, beliau dilaporkan berada dalam keadaan sihat dan menjalankan tanggungjawab sebagai ketua menteri secara maya.
Hajiji mengucapkan terima kasih kepada Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Christina Rundi, Pengarah Hospital QEH 1, Dr. William Gotulis, Ketua Unit Penyakit Berjangkit, Dr. Lee Heng Gee, doktor-doktor pakar dan para jururawat yang telah merawatnya dan isteri.
Tidak ketinggalan buat petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus dalam membendung penularan wabak Covid-19, kata Hajiji.
“Yang penting ialah rakyat mesti berdisiplin, bekerjasama dan sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak kerajaan”, katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.