Klang, Papar, Tuaran dan Sandakan dikenakan ‘lock down’ bersyarat

0
208
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Berkuat kuasa Jumaat ini, tiga kawasan di Sabah dan satu kawasan di Selangor akan dikenakan Perintah Kawalan
Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kawasan terlibat ialah Sandakan, Papar dan Tuaran di Sabah serta Klang di Selangor.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat berikutan berlakunya peningkatan kes Covid-19 di kawasan-kawasan tersebut.

“Pelaksanaan PKPB ini bagi membendung jangkitan dan penularan Covid-19 dalam daerah tersebut serta membolehkan aktiviti pengesanan kes secara bersasar dilaksanakan sepanjang tempoh 14 hari.

“Pergerakan keluar masuk di ke empat kawasan PKPB ini adalah tidak dibenarkan. Hanya perkhidmatan perlu termasuk kilang-kilang dan rantaian yang berkaitan dalam perkhidmatan perlu adalah dibenarkan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, pihak Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri
Malaysia (MITI) juga akan menyenaraikan jenis perkhidmatan perlu yang terlibat di kawasan tersebut.

Katanya, antara prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan adalah hanya dua orang daripada sebuah rumah dibenarkan untuk keluar bagi tujuan mendapatkan bekalan makanan atau keperluan rumah.

Katanya, perniagaan bukan perkhidmatan perlu hendaklah ditutup manakala restoran, kedai makan, kedai runcit dan kedai serbaneka dibenarkan beroperasi antara pukul 6 pagi hingga 6 petang.

“Pembelian makanan hanya menggunakan kaedah pandu lalu, penghantaran dan take-away sahaja.

“Waktu operasi stesen minyak antara 6 pagi hingga 6 petang sahaja. Operasi pasar harian pula adalah antara hingga 6 pagi hingga 2 petang sahaja.

“Operasi pasar malam, tamu, pasar borong, dan pasar tani adalah tidak dibenarkan. Waktu operasi klinik dan hospital kerajaan dan swasta dibenarkan secara 24 jam,” katanya.

Beliau berkata, farmasi dan kedai menjual ubat-ubatan beroperasi mulai 6 pagi hingga 6 petang sahaja.

“Kenderaan yang membawa barangan keperluan dibenarkan keluar masuk dengan mendapatkan kebenaran polis terlebih dahulu.

“Perkhidmatan teksi/e-hailing (maksimum 2 penumpang) dan penghantaran makanan dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi
hingga 8 malam sahaja. Namun, perkhidmatan bas ekspres dan bas henti-henti tidak dibenarkan beroperasi,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here