Krisis air : Menteri Besar Selangor dicabar letak jawatan

0
287
Gambar Menteri Besar Selangor memeriksa kualiti air yang dikongsikan Hazwan Mohamad melalui Twitternya.

CYBERJAYA – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari dicabar meletak jawatan sekiranya tidak mampu menyelesaikan isu gangguan bekalan air yang tidak berkesudahan.

Ketua Angkatan Pemuda-Pemudi Berjasa (Angkasa), Hazwan Mohamad berkata, sebagai individu yang mempunyai kuasa pentadbiran paling tinggi, Amiruddin perlu mengambil tanggungjawab menyelesaikan isu yang sudah lama membebani rakyat itu.

Justeru beliau menggesa Amiruddin supaya mengisytiharkan ‘perang’ terhadap mereka yang bersalah dalam sebarang aktiviti pencemaran air di Selangor.

“Jutaan rakyat Selangor sudah hilang kesabaran berikutan gangguan bekalan air yang kerap berlaku di negeri termaju di Malaysia.

“Sekiranya beliau (Amiruddin) tidak mampu menyelesaikan isu ini, kita desak Amirudin segera berundur dan meletakkan jawatan,” katanya kepada portal Ismaweb.net hari ini.

Hazwan Mohamad

Hazwan berkata, lebih menimbulkan persoalan adalah kenapa tiada syarikat atau individu yang menjadi punca masalah air berjaya dibawa ke muka pengadilan dan dikenakan hukuman.

Lebih menyusahkan orang ramai, Hazwan berkata, gangguan bekalan air berlaku ketika penularan pandemik Covid-19 dan Selangor dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Apa tidak adakah perancangan yang menyeluruh berkenaan isu air di Selangor setelah lama berkuasa di negeri terkaya ini?

“Apakah hasil negeri tidak diurus dengan penuh tanggungjawab agar rakyat boleh menerima dan mendapat perkhidmatan yang terbaik?

“Sampai bila jutaan rakyat Selangor perlu berdepan dengan krisis air dan lebih menyakitkan apabila terpaksa berhadapan juga dengan wabak COVID-19 yang semakin meningkat di Lembah Klang,” katanya.

Gangguan bekalan air yang menjejaskan 1.2 juta pengguna di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berpunca daripada pencemaran Sungai Selangor yang menyebabkan penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 dan LRA Rantau Panjang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here