Lagi pemakai ‘gelang pink’ ditahan

0
376
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Gara-gara mengingkari arahan kuarantin, seorang lelaki yang masih memakai ‘gelang pink’ ditahan polis selepas disyaki melanggar arahan kuarantin Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Bandar Tasik Puteri, Rawang malam tadi.

Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Arifai Tarawe berkata, lelaki berusia 52 tahun itu ditahan di hadapan sebuah restoran kira-kira pukul 7.30 malam setelah menerima aduan daripada orang awam. 

“Semakan mendapati lelaki berkenaan diarahkan menjalani kuarantin di rumah bermula semalam hingga 16 Oktober depan selepas ujian saringan Covid-19 di KLIA2 dan keputusan (ujian saringan) masih belum diterima,” katanya memetik laporan Bernama hari ini.

Sehubungan itu katanya, lelaki berkenaan akan direman esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan.

Selain itu, katanya siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 22(b) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Peraturan 11 Peraturan-peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No. 8) 2020.

“Orang ramai dinasihatkan agar mematuhi perintah menjalani kuarantin yang telah diberikan oleh Kementerian Kesihatan bagi memastikan keselamatan mereka, keluarga serta orang lain. Perbuatan ini juga boleh menggusarkan masyarakat sekitar, “ katanya. 

Terdahulu, tular di media sosial gambar menunjukkan sepasukan anggota polis menjalankan pemeriksaan ke atas seorang lelaki di hadapan sebuah restoran di Bandar Tasik Puteri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here