Lapan suspek pencemaran sungai direman bermula hari ini

0
190
Pencemaran bekalan air yang menyebabkan henti tugas loji rawatan air di Selangor.

SELAYANG – Dua pengarah syarikat membaiki dan menjual jentera pembinaan ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini bersama enam pekerja selepas disyaki terbabit dalam pencemaran Sungai Selangor .

Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Mahkamah Selayang, Nik Mohd Fadli Nik Azlan ke atas semua suspek berusia antara 28 hingga 66 tahun itu.

Pengarah syarikat berusia 31 tahun bersama bapanya, 62, ditahan bersama enam pekerja masing-masing dua warga tempatan dan empat lelaki warga asing dari Nepal, Pakistan dan Myanmar.

Mengikut kenyataan polis sebelum ini, siasatan ke atas mereka dijalankan mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat sehingga menyebabkan berlaku pemutusan bekalan air untuk tujuan pertanian, makanan atau minuman kepada manusia dan haiwan atau bagi menjalankan sebarang pengeluaran.

Penahanan suspek adalah susulan pencemaran bekalan air Sungai Selangor pada 19 Oktober lalu yang menyebabkan Air Selangor terpaksa menutup operasi Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang.

Henti tugas logi berkenaan menyebabkan lebih 1.2 juta penduduk di Selangor dan Lembah Klang terpaksa berdepan dengan gangguan bekalan air yang pulih semalam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here