
CYBERJAYA – Pencemaran sumber air di Sungai Selangor dijangka pulih pada petang ini.
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, ini berdasarkan trend perkembangan bacaan semasa di sungai tersebut.
“Kadar pencemaran kini mencatat bacaan 1 TON. Bekalan air akan mula disalur apabila bacaan cecah 0 TON. Usaha pemulihan pencemaran sedang giat dilaksanakan,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman Facebooknya hari ini.
Berikutan itu, beliau berkata, bekalan air akan mula disalurkan secara berperingkat selepas itu.
Pada masa sama, katanya, laporan polis telah dibuat berhubung kes pencemaran dan siasatan sedang dilaksanakan.
“Dalam pada itu, 81 lori tangki air, 34 tangki statik dan 17 Pusat Khidmat Setempat telah digerakkan oleh Air Selangor untuk kegunaan para pengguna yang terlibat,” ujarnya.-MT