
CYBERJAYA – Berkuat kuasa tengah malam ini, kawalan retas daerah akan dilaksanakan di seluruh Sabah bagi mengekang penularan wabak Covid-19.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pelaksanaan kawalan rentas daerah itu akan berkuat kuasa sehingga 16 Oktober ini.
“Namun begitu, perkhidmatan perlu seperti keperluan bekalan makanan, perubatan, keselamatan dan lain-lain adalah dibenarkan untuk melakukan perjalanan rentas daerah.
“Sepanjang tempoh ini, mereka yang sedang dikuarantin dan akan tamat tempoh kuarantin dibenarkan pulang ke daerah masing-masing atau pulang ke Semenanjung, Sarawak dan Labuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ismail Sabri berkata, meskipun begitu, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) di empat daerah iaitu Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna yang diumumkan sebelum ini kekal berkuatkuasa seperti biasa.
“Sebarang maklumat lanjut akan dimaklumkan oleh kerajaan negeri Sabah melalui Jawatankuasa Bencana Alam Covid Sabah yang dipengerusikan setiausaha kerajaan negeri,” katanya.-MT