CYBERJAYA – Gara-gara gagal mengawal emosi dan terlepas cakap di media sosial, seorang lelaki tampil memohon maaf selepas menghina dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada rakyat Sabah.
Permohonan maaf itu dibuat menerusi rakaman video berdurasi 1 minit 19 saat yang tular melalui media sosial kira-kira jam 11 malam tadi.
Lelaki berkenaan berbuat demikian kira-kira 12 jam selepas Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata akan menjejak lelaki dari Johor yang mengeluarkan kenyataan menghina rakyat Sabah, dalam sidang medianya.
Dalam video itu, lelaki terbabit meminta maaf kepada rakyat Sabah terutamanya yang berada di Johor kerana mengeluarkan kata-kata kesat dua hari lalu menerusi satu rakaman video yang turut tular di aplikasi WhatsApp.
“Kepada rakyat Sabah yang berada di Malaysia terutama di negeri Johor, saya pada dua hari lepas saya ada marah, ada maki dengan orang Sabah.
“Tapi ini hari saya minta maaf banyak-banyak sebab saya terlepas cakap, jadi saya minta rakyat Sabah tak kira di mana berada sama ada berada di Sabah atau pun berada dalam Malaysia terutama di negeri Johor, saya minta maaf banyak-banyak.
“Maafkan saya, saya terlepas cakap. Saya tahu memang saya salah, saya minta maaf banyak-banyak kepada rakyat Sabah,” katanya dalam pengakuan beliau dipetik Sinar Harian hari ini.

Hazani dalam sidang medianya sebelum ini berkata, polis mengesan lelaki dari Johor itu dan siasatan akan dijalankan selepas rakaman suara itu didapati boleh memecah belahkan keharmonian rakyat di negara ini.
Susulan kenyataan itu, polis Sabah akan kerjasama dengan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengesan lelaki itu.
Individu yang melakukan kesalahan itu boleh disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.