Lelaki wakaf banglo, kebun miliknya di Kuala Lumpur meninggal dunia

0
3362
Banglo yang diwakafkan oleh Allahyarham untuk dijadikan pusat pengajian warga emas di Sungai Penchala

CYBERJAYA – Seorang lelaki yang bermurah hati dengan mewakafkan hartanah berskala besar miliknya di Kuala Lumpur menghembuskan nafas terakhir hari ini.

Menurut Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Mohd. Mazlan Md. Ismail Merican meninggal dunia pada pukul 7.30 pagi di kediamannya.

“Pada November 2011, Allahyarham telah mewakafkan kepada MAIWP hartanah seluas 1.72 ekar di No. 9, Lot 2854, Kampung Sungai Penchala, 60000 Kuala Lumpur yang terdiri daripada banglo kediaman dan kebun.

“Hartanah diwakafkan untuk tujuan pusat pengajian warga emas yang kini diuruskan oleh MAIWP dan dikenali sebagai Darul Ilmi,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman Facebook MAIWP hari ini.

Menurut MAIWP lagi, pusat pengajian itu membolehkan penuntut mempelajari ilmu agama secara intensif selama dua tahun bermula dari bangun pagi sehinggalah tidur.

“Begitu besar manfaat yang ditinggalkan oleh Allahyarham. Semoga rohnya ditempatkan di kalangan orang yang soleh,”.

Sementara itu, dalam satu rakaman video YouTube yang dimuat naik dalam hantaran itu ketika sesi temu bual bersama Allahyarham baru-baru ini berkata, beliau mewakafkan harta-harta tersebut sebagai saham di akhirat nanti.

Allahyarham berkata, beliau memilih MAIWP untuk menguruskan hartanah tersebut kerana mereka mempunyai sistem yang tersusun dan mempunyai kepakaran serta pensyarah untuk mengajar.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here