Maritim Malaysia tahan dua bot nelayan asing di perairan Pahang

0
168
Salah sebuah bot milik nelayan Vietnam yang menceroboh perairan negara di Pahang.

𝗞𝗨𝗔𝗡𝗧𝗔𝗡 – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Negeri Pahang (Maritim Malaysia) berjaya menahan dua buah bot disyaki nelayan asing bersama dua tekong dan 26 kru ketika cuba melarikan diri di perairan Pahang pada kedudukan kira-kira 33 batu nautika Timur Laut, Pulau Tioman.

Pengarah Maritim Negeri Pahang Laksamana Pertama Maritim, Amran Daud berkata, penahanan dibuat ketika aset Maritim Malaysia sedang melaksanakan Op Kuda Laut pada pukul 2.30 petang kelmarin.

“Bot dengan nombor pendaftaran TG 98555 TS dan TG 95556 TS yang menceroboh perairan negara itu bertindak cuba melarikan diri setelah menyedari kehadiran kapal ronda Maritim Malaysia, namun cubaan itu berjaya digagalkan.

“Berdasarkan nombor pendaftaran, bot-bot berkenaan dipercayai bot nelayan dari Vietnam. Pemeriksaan ke atas kedua-dua bot menemui muatan sejumlah 3 tan hasil laut serta bekalan diesel sebanyak 3000 liter,” katanya dalam kenyataan di Facebook rasmi agensi itu hari ini.

Sebahagian daripada RM2 juta nilai hasil tangkapan dan bot yang dirampas Maritim Malaysia.

Amran berkata, kesemua tekong dan kru yang berusia antara 17 hingga 50 tahun itu ditahan di bawah Seksyen 16(3) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana memasuki dan menangkap ikan di kawasan perairan Malaysia tanpa kebenaran.

Katanya, mereka juga ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki pengenalan diri yang sah.

“Keseluruhan barang rampasan termasuk bot, peralatan menangkap ikan serta bekalan diesel dianggarkan bernilai hampir RM2 juta.

“Bot dibawa ke Pos Maritim Tanjung Gemok dan kesemua mereka telah menjalani ujian saringan Covid-19 dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan lanjut,” katanya.

Sebahagian daripada 28 nelayan warga Vietnam yang menceroboh perairan negara di Pahang.

Menurut Amran, jika disabitkan kesalahan kedua-dua tekong boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta setiap seorang, penjara tidak melebihi tiga tahun manakala semua awak-awak boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 setiap seorang, penjara tidak melebihi dua tahun.

Maritim Negeri Pahang sehingga kini melakukan 2,079 pemeriksaan dengan 25 tangkapan melibatkan pelbagai kesalahan.

Dalam pada itu, orang ramai diminta tampil membuat aduan mengenai sebarang kesalahan atau jenayah di perairan negara dengan menghubungi Talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here