
CYBERJAYA – Kesan jangka masa panjang penularan Covid-19 dijangka terus memberi impak kepada tahap kesihatan mental yang akan menyaksikan peningkatan kes bunuh diri, keganasan rumah tangga dan penyalahgunaan dadah.
Penolong Professor dan Pakar Psikiatri Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Rozanizam Zakaria berkata, tiga faktor utama yang mempengaruhi tahap kesihatan mental itu adalah kesan daripada rasa ketidaktentuan, terputus sokongan sosial dan kesan ekonomi yang menekan.
“Interaksi faktor-faktor inilah mempunyai impak yang cukup kuat yang akhirnya menyumbang kepada meningkatnya risiko bunuh diri, melakukan keganasan rumah tangga dan penyalahgunaan dadah.
“Pandemik ini juga memberi kesan psikologi dalam pelbagai bentuk. Antaranya kesunyian, keresahan melampau, ketakutan terhadap risiko jangkitan, kemurungan dan gangguan tidur,’’ katanya.
Beliau berkata, kajian di peringkat global secara konsisten menunjukkan perkaitan rapat antara wabak Covid-19 dan tekanan psikologi.
Katanya, kajian awal di China ketika awal penularan wabak itu misalnya menunjukkan peningkatan 35 peratus gejala tekanan psikologi manakala kajian di Amerika Syarikat menunjukkan 45 peratus dalam kalangan orang dewasa mengakui kesan negatif pandemik kepada kesihatan mental mereka.
Tambahnya, antara yang berisiko tinggi adalah mereka yang mempunyai sejarah masalah mental, tinggal di kawasan yang berlaku banyak kes, kehilangan ahli keluarga akibat Covid-19 dan pekerja kesihatan yang bekerja secara langsung dengan pesakit.
Sehubungan itu, Rozanizam mencadangkan tiga peringkat pencegahan iaitu dalam masyarakat umum, mereka yang berisiko dan mereka yang mempunyai sejarah penyakit mental.
“Usaha itu misalnya boleh dilakukan dengan meningkatkan kesedaran, membentuk sokongan sosial kepada mereka yang terkesan, bantuan praktikal seperti kewangan dan memperbaiki akses kepada bantuan awal bagi mereka yang berisiko.
“Kerajaan juga perlu meningkatkan keupayaan perkhidmatan dengan mengembeling tenaga semua pihak kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan, komuniti dalam membantu mereka yang berisiko,’’ kata Naib Presiden I-Medik itu.