Menteri Pengangkutan arahkan KTMB lanjutkan pemberian diskaun

0
208
KTMB menawarkan diskaun sehingga 50 peratus bermula 27 Oktober lalu hingga 9 November ini

CYBERJAYA – Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong mengarahkan supaya
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) melanjutkan tawaran diskaun sehingga 16 November ini.

Ka Siong berkata, langkah itu diambil supaya lebih ramai penumpang dapat menikmati manfaat itu berikutan tempoh tawaran diskaun itu berakhir sama dengan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang berakhir iaitu pada 9 November ini.

“Kementerian Pengangkutan sentiasa mendengar suara rakyat dan prihatin serta komited dalam membantu meringankan beban pengguna pengangkutan awam khususnya semasa waktu sukar akibat pandemik Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu hantaran menerusi laman Facebooknya meminta supaya tarikh akhir pemberian diskaun itu dilanjutkan berikutan pelaksanaan PKPB di Lembah Klang sehingga 9 November ini.

Baru-baru ini, KTMB menawarkan diskaun tambang sehingga 50 peratus untuk perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan KTM Antarabandar (KTM Intercity) hingga 9 November depan.

Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Datuk Ir Kamarulzaman Zainal, berkata tawaran diskaun itu adalah bagi perjalanan ke mana-mana destinasi sedia ada membabitkan enam perkhidmatan ETS dan lapan KTM Antarabandar ketika tempoh PKPB.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here