Mimpi ‘tiga pintu’ berakhir dengan syahadah di Malakat Mall

0
845
Wanita Kristian lafaz syahadah di Malakat Mall

HIDUP bagaikan tiada arah tujuan dan persoalan tentang tujuan sebenar kehidupan di dunia ini membuatkan Ikatrisnawaty Manalu, 34, tidak pernah tenang, terutama setiap kali ditimpa ujian.

Sehinggalah baru-baru ini, wanita kelahiran Tebing Tinggi, Indonesia itu mengalami mimpi yang menjadi petunjuk untuk dia memilih Islam sebagai pedoman yang dapat membimbing kehidupan lebih baik dan teratur.

Dalam mimpinya, wanita yang sebelum ini beragama Kristian itu mengaku diperlihatkan dengan tiga buah pintu yang memaparkan pelbagai cara hidup manusia.

Katanya, ketika membuka pintu pertama dia melihat sekumpulan manusia yang sedang melakukan perbuatan sumbang manakala pintu kedua pula dia melihat sebilangan manusia yang sedang berseronok dengan meminum arak.

Gambar hiasan.

Apa yang dilihat di sebalik dua pintu itu membuatkan Ika keresahan sehinggalah dia membuka pintu terakhir yang menemukan dia dengan seorang kawan yang baharu sahaja dikenalinya selepas bekerja di Malakat Mall, Cyberjaya beberapa minggu lalu.

Di akhir mimpi itu, kawannya tampil dalam keadaan yang cukup menenangkan hati lalu membawanya keluar daripada segala keresahan sebelum merasakan dirinya bebas daripada segala beban dan kerisauan.

Pekerja pembersihan Malakat Mall itu tidak menunggu lama untuk mencari jawapan kepada mimpinya apabila dia melafazkan dua kalimah syahadah di pusat beli belah di Cyberjaya itu, Jumaat yang lalu.

Ikatrisnawaty Manalu (kiri) melafazkan kalimah syahadah sambil disaksikan ustaz Mohammad Ali [email protected] (kanan). Majlis turut disaksikan oleh Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim atau Coach Fadzil.

Ika ketika ditemui berkata, dia yang baharu bekerja di Malakat Mall membuat keputusan itu atas kerelaan hatinya selepas melihat keindahan cara hidup orang Islam, terutama dalam persekitaran pusat beli-belah berkonsepkan pusat perniagaan Islam itu.

“Di sini setiap hari saya didedahkan dengan orang ramai yang bersolat beramai-ramai di dalam pasar raya, laungan azan, bacaan Al-Quran dan lagu-lagu ketuhanan.

“Mungkin persekitaran ini membuatkan saya jatuh cinta pada Islam kerana ajaran agama yang tersusun cantik,’’ katanya kepada Malakat Tribune.

Ditanya perasaan selepas pengislamannya, Ika berkata ia adalah sesuatu yang amat sukar digambarkan dengan kata-kata.

Yang paling jelas menurutnya adalah perasaan ‘kosong’ yang sangat indah seolah-olah segala kekusutan di fikirannya lenyap dalam sekelip mata.

“Ia tidak sepatutnya (tenang) begini sebab di Indonesia saya mempunyai anak-anak dan keluarga yang perlu ditanggung.

“Entah bagaimana, selepas bergelar mualaf saya tiba-tiba teringin sangat untuk pulang ke kampung halaman melihat anak-anak yang saya tinggalkan.

“Sementara Covid-19 masih menular, saya terpaksa akur kepada undang-undang dan peraturan perjalanan balik ke Indonesia,’’ katanya yang meninggalkan lima orang anak kampung halaman di Indonesia.

Ika berkata, sekembalinya ke Indonesia, dia berharap dapat membimbing anak-anaknya ke jalan yang diredhai Allah.

“Di sana saya tidak mempunyai suami. Tiga anak saya tinggal bersama ayahnya.

“Manakala dua anak saya yang paling akhir dibesarkan oleh kakak saya yang beragama Kristian.

“Sebagai ibu saya akan pastikan anak-anak saya dibesarkan sebagai seorang Islam,’’ katanya.

Mengenai lelaki dipanggil ‘Abi’ yang muncul di dalam mimpinya, Ika berkata, dia baharu sahaja mengenali lelaki berkenaan dan setakat ini tidak mempunyai apa-apa rancangan untuk berkahwin.

“Kemunculan dia dalam mimpi itu mungkin sekadar asbab untuk saya mengenal Islam.

“Saya masuk Islam bukan sebab mahu berkahwin dengannya atau apa…Bahkan saya tetap dengan pendirian saya untuk pulang ke Indonesia tidak lama lagi.

“Bagaimana nasib saya selepas itu saya redha sebab saya yakin Allah akan bersama saya,’’ katanya.

“Allah memberikan hikmah kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan yang ditentukan-Nya). Dan sesiapa yang diberikan hikmah itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang yang menggunakan akal fikirannya.” (Surah al-Baqarah, ayat 269)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here