
CYBERJAYA – Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah hari ini memberi gambaran kerajaan mungkin melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran kenaikan mendadak kes positif Covid-19.
Kenyataan itu ditafsirkan daripada ciapan balas beliau kepada seorang pengguna Twitter yang mencadangkan kerajaan menyekat semula perjalanan antara negeri buat masa ini.
Ciapan daripada @zalifahms juga mengesyorkan supaya kerajaan tidak memberi kebebasan kepada individu yang pulang dari Sabah untuk menjalani kuarantin sendiri.
“Apa kata jika kita semua kembali kekal di rumah buat seketika waktu?,” kata Noor Hisham hari ini.
Kenyataan beliau mencetuskan pelbagai reaksi nitizen yang merasakan langkah PKP perlu dilaksanakan semula.
Tidak kurang juga yang menolak cadangan itu kerana kesan ekonomi yang tidak lagi tertanggung rakyat.
Sebahagian lagi pengguna Twitter menyalahkan penularan mendadak Covid-19 sejak beberapa hari lalu kepada ahli politik dan penyokong parti yang pulang dari berkempen di Sabah.
Sebanyak 260 kes positif Covid-19 direkodkan hari ini dengan satu kes import.