Pandemik dalam negara masih terkawal – PM

0
80
Muhyiddin Yassin

SHAH ALAM – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pandemik Covid-19 dalam negara masih terkawal dengan kebanyakan kes berlaku dalam kalangan tahanan penjara, kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara bersasar dan kluster yang telah pun dikenal pasti

Beliau berkata, keadaan semasa Covid-19 masih dapat dibendung hasil kerjasama pelbagai agensi dan Kementerian Kesihatan (KKM) melalui pemantauan dan pengesanan kes dan kontak rapat yang dilakukan secara aktif.

“Hal itu menyebabkan lebih banyak kes positif Covid-19 dikesan dan menyumbang kepada statistik harian di dalam negara.

“Saya amat berharap perkara itu dapat difahami dan saya ingin tekankan di sini bahawa keadaan terkawal dan sedang diuruskan dengan baik oleh agensi kerajaan yang terlibat,” katanya di laman Facebook hari ini.

Tedahulu, beliau mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung pengurusan wabak itu.

Perdana Menteri berkata, kerajaan akan melakukan saringan kepada semua pendatang tanpa izin (PATI) dan menempatkan mereka di Pusat Tahanan dan Kuarantin Sementara (PTS) di Sabah kerana penularan Covid-19 di  negeri itu dikesan berpunca daripada PATI.

“Pada masa ini, PTS di Sabah telah melebihi kapasiti. Maka kerajaan akan membuka lebih banyak PTS baharu bagi menempatkan PATI yang ditahan sebelum proses pengusiran dilaksanakan.

“Petugas KKM juga telah ditambah untuk menjalankan proses saringan ke atas Pati yang ditahan,” ujarnya.

Mengenai kawalan sempadan negara, Muhyiddin berkata anggota keselamatan negara akan ditambah dan aset keselamatan akan diatur bagi mengekang kemasukan PATI di Sabah.

“Saya juga ingin memberi jaminan bahawa tahap kesiapsiagaan negara adalah pada tahap yang tertinggi dan mampu menghadapi penularan jangkitan Covid-19 seperti yang kita telah lalui sebelum ini,’’ katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here