Pasukan perubatan forensik dihantar ke Sabah

0
131

CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) menghantar pasukan pakar perubatan dari Semenanjung Malaysia ke Sabah bagi menjalankan tugas-tugas forensik dan pengurusan kematian akibat Covid-19 di Pantai Timur Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, seramai empat pegawai dari Institut Perubatan Forensik Negara dan Hospital Kuala Lumpur (HKL) dihantar ke Hospital Tawau pagi ini.

“Mereka terdiri daripada seorang pakar perubatan forensik, dua pegawai perubatan dan seorang penolong pegawai perubatan.

“Pasukan pakar ini akan menjalankan tugas perubatan forensik dan pengurusan kematian akibat Covid-19 di kawasan Timur Sabah. Bagi Pakar Perubatan Forensik tersebut, dia akan bertugas di Tawau selama 3 bulan,” katanya melalui hantaran Facebook  hari ini.

Empat pegawai dari Institut Perubatan Forensik Negara dan Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang dihantar ke Hospital Tawau pagi ini.

Noor Hisham berkata, para petugas yang dimonilisasi dalam tugas itu berada dalam keadaan bersiap-sedia untuk menjalankan tugas di negeri itu.

“Bagi pihak rakyat Malaysia, terima kasih diucapkan kepada wira-wira negara ini,” katanya lagi.

Sabah sehingga kini telah merekodkan sebanyak 38 kematian akibat penularan Covid-19 dengan mendahului jumlah kes positif sejak beberapa minggu lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here