
SHAH ALAM – Sani Express Sdn Bhd memberi kelonggaran kepada pelajar yang sudah memiliki tiket perjalanan menjadualkan semula perjalanan ke institut pengajian tinggi masing-masing bermula 3 Oktober sehingga 31 Disember depan.
Sehubungan itu, pelajar yang terjejas akibat penangguhan pendaftaran atau kemasukan ke IPT boleh mengatur tarikh perjalanan melalui WhatsApp ke talian 019-2685050 atau 019-6279129 atau rujuk ke kaunter berdekatan.
Menurut kenyataan itu, untuk mendapatkan penangguhan atau penjadualan semula itu, mereka perlu melampirkan pengesahan identiti pelajar dan surat rasmi penangguhan oleh IPT masing-masing.
“Kami juga ingin memohon agar semua pihak terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa bagi memutuskan jangkitan Covid-19.
“Penumpang yang masih menggunakan pengangkutan awam terutamanya Sani Express Sdn Bhd diingatkan untuk terus mematuhi SOP pengangkutan awam dan mengambil langkah pencegahan sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, KPT dalam satu kenyataan 27 Oktober lalu memaklumkan pihaknya telah mencadangkan kepada semua IPT menangguhkan pendaftaran kemasukan pelajar baharu dan lama dari kawasan zon merah secara bersemuka di kampus masing-masing yang dijadualkan bermula Oktober ini.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, sebaliknya proses pendaftaran dan pembelajaran bagi kumpulan pelajar terbabit boleh dilakukan secara dalam talian.