Pemandu MyVi rempuh Honda ditahan polis

0
420
Kemalangan maut di KM 4 Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi pada Sabtu lalu.

JOHOR BARU: Polis menahan pemandu wanita berusia 23 tahun yang merempuh dua buah kereta termasuk menyebabkan kematian seorang pemandu di Kilometer 4 Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner (ACP) Mohd. Padzli Mohd. Zain berkata, suspek wanita itu akan disiasat untuk membantu siasatan kemalangan dan di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 selepas ujian saringan air kencingnya didapati positif dadah.

“Dia didapati positif dadah dan telah ditahan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara sembrono sehingga mengakibatkan kematian,” katanya.

Mohd. Padzli Mohd. Zain

Dalam kejadian itu, anggota Tentera Laut Diraja Malaysia
Laskar Kanan Mohd Rizal Buseri, 31, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala selepas keretanya dirempuh kereta suspek.

Kemalangan itu melibatkan kereta Perodua Myvi dipandu suspek, kereta Honda Accord dipandu Mohd Rizal dan sebuah kereta Proton Iswara yang dipandu seorang warga emas, Chang Ah May, 78.

Terdahulu, polis menafikan dakwaan suspek bahawa dia mengelak kenderaan berhenti di hadapannya hingga terlibat kemalangan dan mengakibatkan kematian

Rakaman video yang tular dalam media sosial juga menunjukkan kereta dipandu wanita itu merempuh kereta Honda Accord dinaiki mangsa hingga kedua-dua kereta terbalik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here