Pengguna perkhidmatan awam menurun 30% sejak PKPB dilaksanakan – Prasarana

0
112
Tajuddin (dua, kanan) ketika melakukan tinjauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan penumpang dan pekerja ketika menaiki pengangkutan awam dari stesen MRT Pusat Bandar Damansara hingga stesen LRT Masjid Jamek, hari ini. – twitter/askrapidkl

CYBERJAYA – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang mulai Selasa lepas menyebabkan jumlah penumpang perkhidmatan pengangkutan awam di ibu kota mengalami penurunan.

Menurut Bernama, perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman selepas meluangkan masa lebih sejam meninjau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan penumpang dan pekerja ketika menaiki pengangkutan awam, hari ini.

Beliau berkata, Jumlah penumpang harian perkhidmatan rel sebelum PKPB yang dianggarkan mencecah 800,000 sehari, kini menurun kepada lebih 500,000 penumpang manakala bas menurun kepada sekitar 200,000 penumpang sehari.

“Situasi ini dipengaruhi budaya bekerja dari rumah yang dilaksanakan ketika PKPB ini, dan kami percaya ia adalah untuk sementara waktu sahaja.

“Walaupun dalam situasi PKPB, Prasarana akan memastikan perkhidmatan pengangkutan awam ini akan beroperasi pada kekerapan normal terutama pada waktu puncak bagi kemudahan orang ramai,” katanya.

Beliau turut menambah, pihaknya sentiasa memastikan kebersihan kenderaan dan stesen termasuk pemegang tangan, eskalator, lif dan mesin tiket bagi mencegah penularan COVID-19.

Antara SOP lain yang dipastikan ialah menyediakan cecair pembasmi kuman, membuat saringan suhu badan selain membuat pengumuman berterusan bagi mengingatkan pengguna menjaga jarak fizikal.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here