Penjara Pokok Sena, beberapa kawasan zon merah di Kunak dan Semporna kena ‘lock down’

0
308
Penjara Pokok Sena, Kedah

CYBERJAYA – Berkuat kuasa Ahad ini, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan Penjara Pokok Sena, Kedah termasuk kuarters kakitangan selama 14 hari.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD itu akan dikuatkuasakan sehingga 24 Oktober ini.

Beliau berkata, langkah itu diambil selepas Kementerian Kesihatan mengesahkan terdapat peningkatan kes positif Covid-19 yang melibatkan kakitangan penjara dan keluarga, anggota polis dan petugas kesihatan di Penjara Pokok Sena.

“Jumlah penghuni yang terlibat adalah seramai 3,262 tahanan dan 587 kakitangan.

“Pelaksanaan PKPD ini bagi membendung jangkitan dan penularan Covid-19 dalam kawasan tersebut serta membolehkan aktiviti pengesanan kes secara bersasar dilaksanakan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Beliau berkata, sepanjang tempoh itu juga, sebarang pergerakan keluar masuk melibatkan kawasan ini termasuk lawatan oleh keluarga tahanan adalah tidak dibenarkan.

Pada masa sama, katanya, semua prosedur operasi standard (SOP) yang digunakan adalah sama seperti di penjara lain yang telah ditetapkan.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan juga bersetuju untuk melaksanakan PKPD di beberapa lokaliti baru yang diklasifikasikan sebagai zon merah di daerah Semporna dan Kunak, Sabah berkuat kuasa Ahad ini sehingga 24 Oktober ini.

Beliau berkata, pelaksanaan perintah itu akan melibatkan seramai 35,643 penduduk.

“Di Semporna ia melibatkan enam lokaliti iaitu Kampung Bangau-Bangau, Kampung Panji, Kampung Air, Kampung Selamat, Kampung Simunul dan Kampung Pinggir Bakau.

“Di Kunak pula melibatkan satu lokaliti iaitu Kampung Pangkalan,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here